30 Julai 2008

Merancang Untuk Gagal

TAJUK : MERANCANG UNTUK GAGAL !
Oleh : A. Waty Mohd. Noor

Terdapat beberapa amalan yang diamalkan oleh segelitir pelajar yang akan menyebabkan mereka gagal dalam peperiksaan. Sekiranya anda ingin menempuh kegagalan itu, cubalah beberapa tabiat buruk seperti berikut yang mudah dilaksanakan dan had masa untuk melaksanakannya pun begitu pendek :

TIDAK PERLU JADUAL BELAJAR
Pelajar yang cemerlang dengan mendapat gred A atau B sentiasa merancang waktu belajar dan mempunyai jadual belajar yang akan diikuti. Mereka juga mempunyai reminder atau nota peringatan seperti : ‘ Peperiksaan 5 hari lagi ‘ atau ‘ Baca Topik Ketiga malam ini ‘ .

TIDAK PERLU MENCATAT NOTA
Mencatat nota sendiri, termasuklah sesuatu yang diperkatakan oleh guru sebagai peringatan tentang teknik menjawab soalan, contoh-contoh yang relevan, gambar rajah dan sebagainya hanya akan menyebabkan anda memiliki segala-galanya yang diperlukan menjelang peperiksaan sebagai bahan ulangkaji. Sekiranya anda ingin gagal, anda tidak perlu melakukan semua ini.

TIDUR SEMASA GURU MENGAJAR
Anda sedia maklum, pelajar yang mendapat markah yng baik seperti yang tercatat dalam buku laporan ujian mereka adalah mereka yang tidak tidur semasa guru mengajar atau sedang memberikan contoh-contoh jawapan di papan hitam. Pelajar-pelajar ini kita tahu tidak akan menonton atau bermain permainan video hingga lewat malam sehingga menyebabkan mereka berasa mengantuk ketika berada di sekolah. Jangan ikut tabiat mereka kerana sekiranya diikut, nanti anda akan Berjaya seperti mereka.

TUNGGU HINGGA SAAT-SAAT AKHIR
Anda tidak perlu belajar seperti rakan-rakan yang lain. Belajar terlalu awal mungkin menyebabkan anda terlupa apa-apa yang anda belajar. Oleh itu, anda akan mula belajar pada saat-saat akhir. Sekiranya terlalu banyak topik untuk diulang kaji, anda tidak akan berkesempatan untuk menghabiskannya. Oleh itu, anda akan berjaya untuk gagal!.

TIDAK PERLU BAWA TERLALU BANYAK BUKU KE SEKOLAH
Anda tidak perlu membawa banyak buku latihan ke sekolah kerana anda hanya perlu membawa beberapa helai kertas sahaja sekiranya guru memaksa anda menyalin sesuatu. Hanya pelajar yang berjaya sahaja yang akan memastikan mereka membawa semua buku yang diperlukan mengikut jadual waktu.

ABAIKAN SEMUA ARAHAN
Hanya pelajar yang berjaya sahaja yang mengambil berat tentang arahan sebelum menjawab soalan. Bagi pelajar yang merancang untuk gagal, arahan tidak perlu diendahkan. Terus jawab sahaja.

ULANGKAJI HANYA PADA MALAM SEBELUM PEPERIKSAAN
Pelajar yang berjaya akan mula membuat ulang kaji lebih awal. Mereka mula membuat nota sendiri dan menguji diri sendiri. Bagi yang merancang untuk gagal, buatlah ulangkaji pada malam sebelum peperiksaan.

SAKITI HATI GURU
Kunyah gula-gula getah ketika di dalam kelas, bercakap-cakap dengan rakan di sebelah, tidur atau buatlah apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan guru menjadi marah. Dengan itu, anda juga akan diabaikan oleh guru dan peluang untuk anda gagal pun menjadi semakin cerah.

BELAJAR SECARA INDIVIDU SAHAJA
Kadang-kadang belajar secara berkumpulan akan menyebabkan anda mendapat idea baru dan sesuatu maklumat yang belum anda ketahui. Mungkin juga ada tip tentang cara menjawab soalan dan sebagainya daripada rakan kumpulan belajar anda. Oleh itu, elakkan daripada belajar secara berkumpulan supaya lebih besar kemungkinan anda akan gagal dalam peperiksaan.

LAIN-LAIN
Selain yang disebutkan di atas, jangan lupa untuk mengelakkan diri daripada mentelaah di perpustakaan. Makanlah makanan yang tidak berkhasiat, jangan dengar nasihat guru, ibu bapa atau rakan-rakan yang berjaya dan jangan fikirkan masa depan anda. Yang anda perlukan ialah merendahkan tahap disiplin diri anda!. Sekiranya anda boleh mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan di atas, KEGAGALAN pasti akan menjadi milik anda!. Insyaallah!.