14 April 2008

Lenovo pasarkan rangkaian Idea


BAGI memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan komputer peribadi (PC) dan komputer buku yang lebih berkuasa, peneraju komputer peribadi terbaik dunia - Lenovo melancarkan beberapa siri PC dan komputer buku.
Komputer buku IdeaPad dan PC IdeaCentre menyempurnakan inovasi ThinkPad yang berorientasikan perniagaan. .Berita penuh

RM3 bilion dibelanja rapatkan jurang pendidikan

KUALA TERENGGANU 11 April - Kementerian Pelajaran telah membelanjakan sebanyak RM3 bilion sejak dua tahun lalu dalam usaha membantu pelajar miskin di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP).
Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail berkata, peruntukan itu telah disalurkan kepada Jabatan Pelajaran di setiap negeri untuk membantu pelajar miskin di bawah 12 skim termasuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Skim Baucer Tuisyen, Skim Bantuan Buku Teks dan pelbagai biasiswa.
"Peruntukan sebanyak RM3 bilion itu merupakan jumlah peruntukan yang paling tinggi dalam usaha merapatkan jurang pendidikan di rantau ini.
"Peruntukan tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa jika ada keperluan," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas di sini hari ini.
Beliau berkata, kementerian menjangka pencapaian pelajar dalam empat peperiksaan utama akan meningkat terutama dalam kalangan pelajar miskin ekoran peluang yang sama rata telah disediakan.
"Sebagai contoh, saya menjangka keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan meningkat berbanding tahun lalu yang mana sebanyak 19 peratus calon mencapai keputusan semua A," katanya.
Sementara itu, Razali memberitahu, kementerian akan mengadakan pertemuan dengan 24 pertubuhan guru termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi mengadakan perbincangan berhubung penstrukturan semula sekolah, minggu depan.
"Pertemuan itu diadakan bagi mendengar pandangan guru berhubung penstrukturan semula sekolah. Ini merupakan pintu rundingan dan perbincangan antara kementerian dan guru dalam usaha membentuk muafakat dengan akar umbi," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Juru di Pulau Pinang yang mendamaikan isu bapa menampar seorang guru di sekolah itu minggu lalu.
"PIBG memainkan peranan sebagai perantara dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam keluarga sesebuah sekolah kerana mereka merupakan wakil kepada kedua-dua pihak," katanya.