7 Disember 2008

PIPP jana tenaga sumber manusia

GENTING HIGHLANDS 25 Nov. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta golongan guru menjadikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai satu mekanisme yang boleh digunakan dalam menjana proses pembangunan sumber manusia.
Menurutnya, negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada sumber asli dan bahan mentah tetapi perlu memfokuskan kepada aset sumber manusia yang terhasil daripada sistem pendidikan.
''Kita berpeluang mencapai kemajuan dengan cepat kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan dan persekolahan yang baik, oleh itu kelebihan ini perlu digembleng secara bersepadu menerusi pelaksanaan PIPP,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Nasional Kedua PIPP di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang.
Dalam menjayakan pelaksanaan PIPP, Hishammuddin mengakui beberapa elemen penting seperti akses dan ekuiti perlu diberi penekanan supaya peluang pendidikan dapat dibuka kepada semua golongan.
''Masalah kemiskinan dan faktor lokasi sering menjadi penghalang kepada asas kecemerlangan pelajar kita terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
''Adakah mereka juga mempunyai keyakinan yang sama untuk turut bersaing jika berpeluang mendapat pendidikan seperti pelajar di bandar walaupun mendapat kemudahan yang lengkap,'' ujarnya.
Selain itu, beliau juga mahu kecekapan dalam sistem penyampaian ditingkatkan di semua peringkat dan bahagian.
''Pemimpin atau pengurus pendidikan perlu bijak memperkenalkan inovasi terbaru dalam sistem penyampaian untuk disalurkan kepada mereka yang berada di peringkat bawahan,'' katanya.
Menurutnya, identiti negara bangsa juga perlu diterapkan di dalam konsep pelaksanaan PIPP kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu.
Hadir sama pada konvensyen empat hari bermula semalam itu ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.
Dianggarkan seramai 200 peserta dari peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan pendidikan negeri serta daerah dan institusi-institusi pendidikan hadir ke konvensyen tersebut.
Pada majlis itu, Zulkurnain turut melancarkan buku Modal Insan Cemerlang: Minda Kelas Pertama yang dihasilkan oleh kakitangan IAB.

11 November 2008

Sek Men Keb Tanjong Mas

Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas

Taman Uda Murni, 15400 Kota Bharu,

Kelantan.

28 Oktober 2008

Malam Semarak Budi

Malam Semarak Budi

Tarikh: 30 Oktober 2008
Tempat : New Horizon Restaurant
Masa : 2.00 - 5.00ptg

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua

31 Julai 2008

Perkembangan Staf kali-3 SMK Tanjong Mas

SMK Tanjong Mas akan mengadakan perkembangan staf kali ke 3 pada 16 Ogos 2009, bertempat di Perdana Resort PCB..

30 Julai 2008

Merancang Untuk Gagal

TAJUK : MERANCANG UNTUK GAGAL !
Oleh : A. Waty Mohd. Noor

Terdapat beberapa amalan yang diamalkan oleh segelitir pelajar yang akan menyebabkan mereka gagal dalam peperiksaan. Sekiranya anda ingin menempuh kegagalan itu, cubalah beberapa tabiat buruk seperti berikut yang mudah dilaksanakan dan had masa untuk melaksanakannya pun begitu pendek :

TIDAK PERLU JADUAL BELAJAR
Pelajar yang cemerlang dengan mendapat gred A atau B sentiasa merancang waktu belajar dan mempunyai jadual belajar yang akan diikuti. Mereka juga mempunyai reminder atau nota peringatan seperti : ‘ Peperiksaan 5 hari lagi ‘ atau ‘ Baca Topik Ketiga malam ini ‘ .

TIDAK PERLU MENCATAT NOTA
Mencatat nota sendiri, termasuklah sesuatu yang diperkatakan oleh guru sebagai peringatan tentang teknik menjawab soalan, contoh-contoh yang relevan, gambar rajah dan sebagainya hanya akan menyebabkan anda memiliki segala-galanya yang diperlukan menjelang peperiksaan sebagai bahan ulangkaji. Sekiranya anda ingin gagal, anda tidak perlu melakukan semua ini.

TIDUR SEMASA GURU MENGAJAR
Anda sedia maklum, pelajar yang mendapat markah yng baik seperti yang tercatat dalam buku laporan ujian mereka adalah mereka yang tidak tidur semasa guru mengajar atau sedang memberikan contoh-contoh jawapan di papan hitam. Pelajar-pelajar ini kita tahu tidak akan menonton atau bermain permainan video hingga lewat malam sehingga menyebabkan mereka berasa mengantuk ketika berada di sekolah. Jangan ikut tabiat mereka kerana sekiranya diikut, nanti anda akan Berjaya seperti mereka.

TUNGGU HINGGA SAAT-SAAT AKHIR
Anda tidak perlu belajar seperti rakan-rakan yang lain. Belajar terlalu awal mungkin menyebabkan anda terlupa apa-apa yang anda belajar. Oleh itu, anda akan mula belajar pada saat-saat akhir. Sekiranya terlalu banyak topik untuk diulang kaji, anda tidak akan berkesempatan untuk menghabiskannya. Oleh itu, anda akan berjaya untuk gagal!.

TIDAK PERLU BAWA TERLALU BANYAK BUKU KE SEKOLAH
Anda tidak perlu membawa banyak buku latihan ke sekolah kerana anda hanya perlu membawa beberapa helai kertas sahaja sekiranya guru memaksa anda menyalin sesuatu. Hanya pelajar yang berjaya sahaja yang akan memastikan mereka membawa semua buku yang diperlukan mengikut jadual waktu.

ABAIKAN SEMUA ARAHAN
Hanya pelajar yang berjaya sahaja yang mengambil berat tentang arahan sebelum menjawab soalan. Bagi pelajar yang merancang untuk gagal, arahan tidak perlu diendahkan. Terus jawab sahaja.

ULANGKAJI HANYA PADA MALAM SEBELUM PEPERIKSAAN
Pelajar yang berjaya akan mula membuat ulang kaji lebih awal. Mereka mula membuat nota sendiri dan menguji diri sendiri. Bagi yang merancang untuk gagal, buatlah ulangkaji pada malam sebelum peperiksaan.

SAKITI HATI GURU
Kunyah gula-gula getah ketika di dalam kelas, bercakap-cakap dengan rakan di sebelah, tidur atau buatlah apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan guru menjadi marah. Dengan itu, anda juga akan diabaikan oleh guru dan peluang untuk anda gagal pun menjadi semakin cerah.

BELAJAR SECARA INDIVIDU SAHAJA
Kadang-kadang belajar secara berkumpulan akan menyebabkan anda mendapat idea baru dan sesuatu maklumat yang belum anda ketahui. Mungkin juga ada tip tentang cara menjawab soalan dan sebagainya daripada rakan kumpulan belajar anda. Oleh itu, elakkan daripada belajar secara berkumpulan supaya lebih besar kemungkinan anda akan gagal dalam peperiksaan.

LAIN-LAIN
Selain yang disebutkan di atas, jangan lupa untuk mengelakkan diri daripada mentelaah di perpustakaan. Makanlah makanan yang tidak berkhasiat, jangan dengar nasihat guru, ibu bapa atau rakan-rakan yang berjaya dan jangan fikirkan masa depan anda. Yang anda perlukan ialah merendahkan tahap disiplin diri anda!. Sekiranya anda boleh mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan di atas, KEGAGALAN pasti akan menjadi milik anda!. Insyaallah!.

14 Julai 2008

Kejayaan Milik Semua

Dunia hari menuntut kita untuk berjaya dalam hidup. Konsep kejayaan itu luas. Berjaya dalam akademik adalah satu titik untuk kita lebih berjaya di masa depan. Keinginan yang kuat untuk berjaya itu penting. Berlumba-lumba untuk menghasilkan yang terbaik untuk diri, keluarga, guru-guru dan masyarakat adalah penting. Semangat ingin belajar yang kuat kurang ada dalam diri pelajar hari ini. Mereka asyik dengan dunia mereka yang tanpa arah. Hilang fokus, tiada matlamat hidup dan tidak mengambil endah pada pelajaran. Di mana salahnya? Adakah salah guru? Adalah salah sistem pendidikan kita? Adakah salah ibu bapa? Atau pelajar sendiri yang tidak pernah untuk belajar menjadi orang yang menilai erti kejayaan yang hakiki. Ini bukan masa untuk saling menyalahkan antara satu sama lain. Pelajar perlu sedar bahawa mereka tidak lagi mengambil endah pada tanggunjawab sebagai seorang pelajar.

Saya menyeru kepada semua pelajar,bangkitlah dan binalah semula keyakinan diri untuk berjaya kerana kejayaan itu hak semua. Kejayaan itu akan dapat dikecapi jika kita berusaha sedaya-upaya dengan keinginan yang tinggi. Tiada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup ini melainkan jika kita memilih untuk gagal.

16 Jun 2008

Panduan Kerjaya : Teroka dunia ICT

Oleh Ruhaiza Rusmin

LEDAKAN sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuka ruang luas dunia kerjaya sama ada di peringkat tempatan mahupun global.Permintaan tinggi menjadikan bidang ini antara kursus pilihan ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam atau swasta seluruh dunia.Tidak kisah sama ada bekerja di sektor majikan atau bekerja sendiri, jaminan permintaan yang luas menjanjikan pulangan lumayan.Definisi teknologi ialah konsep yang mempunyai lebih satu tafsiran iaitu antaranya pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan serta proses menyelesaikan masalah manusia.Takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh dimanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia dalam kehidupan harian.Justeru, itu tidak hairan apabila graduan dalam bidang ini sentiasa menjadi pilihan majikan kerana skop pekerjaannya luas.Antara bidang kursus yang ditawarkan dalam program ICT ialah kejuruteraan komputer, perisian, bioperubatan dan grafik.Penyediaan ICT di kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh membantu melahirkan masyarakat celik ICT.Bagaimanapun, bilangan lulusan dari institusi pengajian tinggi perlu seimbang dengan kehendak dan permintaan industri dan perniagaan dalam memastikan negara mempunyai sumber tenaga manusia berkemahiran dan profesional. Usaha negara mewujudkan masyarakat bermaklumat satu agenda penting dalam membantu pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat. Ia juga penting kerana peralihan ke arah masyarakat bermaklumat sangat relevan, di samping menyediakan peluang baru dalam pelbagai urusan dan aktiviti masyarakat. Penggunaan teknologi infokomunikasi boleh menjadi penyelesai dan pemudah cara, sementara revolusi digital dan keupayaan teknologi infokomunikasi membantu mengurangkan halangan tradisional seperti 'jarak' dan 'masa'. Penggunaan ICT dalam era teknologi menjadikan ia aspek wajib dalam kehidupan individu mahupun organisasi.Apabila graduan kurang mahir, ia bukan saja bakal menyulitkan kehidupan tapi menutup peluang pekerjaan yang terbuka luas.Untuk memperoleh kursus dan program berkualiti serta menjadi pilihan majikan KPTM menawarkan peluang itu kerana sistem pengajian dan modulnya mantap. Jika berminat, kunjungi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang terletak di Jalan 6/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur yang menawarkan kursus berkenaan.Maklumat lanjut, hubungi Bahagian Pemasaran KPTM di talian 03-92819700/92856033 atau faksimili ke 03-92815764 atau layari laman web www.kptm.edu.my.